6.2 GAGASAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI

R6.4

Rajah 6.4: Penerbitan Warta Melayu.
Sumber:http://hids.arkib.gov.my/doc/jilidv /mac/23_03_1898_1981.htm Dipetik pada 15 julai 2008

Pada 23 Mac 1898, keluaran pertama akhbar berbahasa Melayu dalam tulisan Jawi 'Warta Melayu' telah diterbitkan (Rajah 6.4). Akhbar ini diterbitkan dan dicetak di Singapura oleh American Machine Press Singapura. Akhbar tersebut diterbit dalam 8 halaman dan menyiarkan pelbagai berita luar dan dalam negeri. Berita-berita itu disiarkan mengikut kumpulan negeri iaitu Khabar Negeri Asing, Khabar Negeri Melayu, Khabar Singapura dan Khabar Pulau Pinang. Berita-berita yang berkaitan meliputi peperangan dan pergolakan politik di negara-negara asing. Soal-soal agama dan cerita-cerita penglipur lara terjemahan daripada bahasa Cina dan Inggeris. Terdapat juga ruangan pengenalan yang ditulis oleh pengarangnya. Mulai keluaran bulan Ogos dalam tahun yang sama, suratkhabar ini mula bercorak komersial dengan tersiarnya iklan-iklan. Walaupun terbitnya tidak tetap kemunculan akhbar ini dalam arena persuratkhabaran Melayu telah dapat membuka sedikit sebanyak pandangan dan pemikiran segolongan orang-orang Melayu terhadap perubahan-perubahan semasa.

Dengan kehendak Kerajaan-Kerajaan Melayu Bersekutu penerbitan akhbar ini diteruskan dalam tulisan rumi. Ini telah mengubah bentuk  akbar  daripada sebuah akhbar biasa menjadi akhbar rasmi bagi Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Warta Rasmi ini mengandungi perkara-perkara seperti perlantikan dalam jabatan, undang-undang dan peraturan-peraturan am kerajaan dan sebagainya. Perkembangan selanjutnya mengenai akhbar ini tidak dapat dikesan kerana penerbitannya telah terhenti tanpa diketahui, manakala keluaran yang tersimpan di Arkib Negara hanya setakat 30 September 1904.

Roseline Mapong Sabai http://hids.arkib.gov.my/doc/2005/mac/23_03_1898_2005.htm dipetik pada 15 Julai 2008.

Pada hari ini 13 Julai 1946, Pejabat Perhubungan Raya di Kuala Lumpur telah menerbitkan naskah pertama akhbar harian tulisan Jawi yang mengandungi 4 halaman. Akhbar Cermin Malaya merupakan sebuah akhbar yang diterbitkan oleh Pejabat Perhubungan Raya yang kemudiannya dikenali dengan nama Pejabat Penerangan. Akhbar Cermin Malaya diterbitkan bertujuan untuk menerangkan mengenai dasar-dasar dan usaha kerajaan Inggeris pada masa itu. Ini termasuklah dasar-dasar kerajaan dalam usaha menghapus, menyekat dan membasmi pengaruh komunis di Tanah Melayu, serta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang menggantikan Malayan Union. Akhbar Cermin Malaya memainkan peranan penting sebagai saluran maklumat dan penyampai berita tentang perkembangan politik, ekonomi dan sosial tanahair. Pada bulan Disember  1948 akhbar Cermin Malaya telah diberhentikan penerbitannya dan kemudiannya telah digantikan dengan Panduan Rakyat.

Pada 12 April 1952, Persidangan Persuratan Melayu SeMalaya yang pertama telah didakan di Singapura. Persidangan itu telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang wakil pertubuhan persuratan seperti Ikatan Bahasa Melayu, Persuratan Buku Di Raja dari negeri Johor, Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung, Angkatan Sasterawan 50 dan lain-lain persatuan dari seluruh Tanah Melayu. Persidangan itu membincangkan dengan terperinci serta membahaskan berkenaan penggunaan tulisan Rumi dan Jawi dalam persuratan Melayu. Angkatan Sasterawan 50 berpendapat bahawa sudah sampai masanya tulisan Rumi diiktiraf secara rasmi tetapi tulisan Jawi juga hendaklah dipakai. Enam buah badan persuratan lain telah menyokong syor Angkatan Sasterawan 50 itu, manakala Lembaga Bahasa Melayu berpendapat bahawa tulisan Jawi dan Rumi adalah sama banyak digunakan dalam persuratan Melayu. Akhirnya persidangan telah bersetuju dengan keputusan mengiktiraf kedua-dua huruf Jawi dan Rumi sebagai huruf rasmi dalam persuratan Melayu. Sesungguhnya keputusan yang diambil oleh Persidangan Persuratan Melayu SeMalaya untuk mengiktiraf tulisan Jawi dan Rumi sebagai tulisan rasmi dalam persuratan Melayu menunjukkan suatu langkah untuk memelihara kedua-dua tulisan tersebut khasnya tulisan Jawi daripada luput ditelan zaman.

Pada hari 6 Februari 1958, bangunan Syarikat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur dibuka dengan rasminya oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor, Tuanku Hishamuddin Alam Shah. Dengan pembukaan bangunan baru itu, akhbar Utusan Melayu rasmilah dicetak dan diterbitkan di Kuala Lumpur, setelah 19 tahun, iaitu semenjak pemindahannya dalam tahun 1939 dari Singapura. Perpindahan tempat percetakan dan penerbitan ini merupakan satu kemajuan bagi Syarikat Utusan Melayu yang kini mempunyai bangunannya sendiri yang dilengkapkan dengan alat-alat jentera yang moden. Akhbar Utusan Melayu merupakan satu akhbar yang terulung yang dipunyai dan diusahakan sepenuhnya oleh orang-orang Melayu. Utusan Melayu  ialah satu-satunya akhbar nasional yang diterbitkan dalam tulisan Jawi. Oeh yang demikian, Utusan Melayu merupakan akhbar yang sangat popular terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu di kawasan luar bandar di mana tulisan Jawi masih lagi difahami dan digunakan dengan meluas. Semenjak  mula ditubuhkan, Utusan Melayu telah banyak menyedarkan dan menyuarakan kepentingan dan perjuangan orang-orang Melayu dalam hal-hal ekonomi, politik dan sosial supaya mereka tidak ketinggalan di belakang dari bangsa-bangsa lain di negara ini.

Pada 1 Januari 2003, akhbar Utusan Melayu, satu-satunya akhbar bertulisan Jawi yang bersalut 1001 sejarah perjuangan bangsanya boleh dikatakan memasuki era `kelumpuhan' yang serius dan mungkin akan terus berkubur tanpa nisan jika tiada sebarang usaha untuk menyelamatkannya dilakukan. Berikut dipetik keluhan dan rintihan terhadap hidup mati tulisan Jawi dalam era globalisasi hari ini.

”AWANG setuju dengan semua yang diperkatakan oleh Saudara Tajuddin Saman, kecuali satu. Beliau yakin tidak ada seorang pun Melayu yang tidak sanggup tampil untuk menyelamatkan Utusan Melayu sekiranya mereka tahu peranan akhbar ini. Di sini beliau silap. Pengurusan Utusan Melayu telah melakukan bermacam-macam usaha untuk menghidupkan akhbar ini sebagai akhbar harian termasuk meminta sokongan Melayu daripada orang seperti Hamid Othman (Tan Sri), kepimpinan Pusat Islam serta orang politik. Pencinta-pencinta tulisan Jawi juga berusaha dengan mengadakan bengkel dan sebagainya untuk mencetuskan minat terhadap tulisan Jawi. Tapi semuanya berakhir begitu sahaja. Pernah diminta supaya wakil-wakil rakyat membeli dan mengedarkannya kepada murid sekolah di kawasan masing-masing. Pun tidak ke mana. Kini, apabila Utusan Melayu terpaksa dijadikan akhbar mingguan dan menghadapi kemungkinan ditutup terus, terdengarlah suara-suara yang bertanya kenapa dan mengapa. Ahad lalu, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain menulis tentang nasib Utusan Melayu di bawah tajuk Melayu Matikan Utusan Melayu. Beliau mengakhiri tulisannya dengan menyatakan: ``Ironiknya, ketika akhbar harian Jawi yang sinonim dengan Melayu diketepikan oleh orang Melayu, masyarakat Cina dengan bangga dan gembira menyambut kelahiran sebuah lagi akhbar harian Cina, Oriental Daily News. Akhbar ini bernasib baik kerana mendapat sokongan orang-orang Cina.'' Awang mahu bertanya, sanggupkah orang Melayu tampil menghidupkan semula Utusan Melayu dengan menyokongnya sebagaimana orang Cina menyokong akhbar Cina?

Daripada petikan di atas, kita dapat mengandaikan bahawa pemartaban tulisan Jawi dalam Bahasa Melayu perlu diberikan perhatian serius.  Menurut Mohd Hussein Baharuddin, terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan tekanan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam masyarakat Melayu kini,  iaitu pendirian orang Melayu itu sendiri. Dalam mengharungi era globalisasi, orang Melayu seolah-olah lupa akan kewujudan unsur dalam Bahasa Melayu yang paling penting, iaitu tulisan. Penggunaan tulisan Rumi telah menenggelamkan sejarah kepentingan tulisan Jawi sebagai alat menyampaikan ilmu sewaktu perkembangan agama Islam di rantau ini. Kanak-kanak tidak diberikan penekanan penulisan Jawi kecuali sekadar sebagai tulisan Arab dalam kelas agama. Oleh itu sikap orang Melayu perlulah diubah agar tulisan Jawi dapat dikekalkan dalam persada hari ini.

Selanjutnya juga perlu difikirkan peranan pihak perancang bahasa, khususnya badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka mengambil inisiatif yang lebih inovatif dalam mempertahankan tulisan Jawi dalam masyarakat hari ini. Malah sebenarnya tulisan Jawi dapat dimantapkan melalui bidang pendidikan. Pengajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah bermula daripada Tahun 1 lagi akan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak  untuk belajar  menulis dalam tulisan Jawi. Pendidikan bukan sahaja bersifat satu hala atau satu lawan satu dalam kelas tetapi perkembangan multimedia dapat membantu perkembangan tulisan Jawi dalam pendidikan melalui perisian kursus dalam CD atau VCD yang memudahkan pengedaran yang lebih luas.

Bahan pengajaran juga perlu diperbanyakkan misalnya buku-buku latihan yang berorientasikan pembelajaran kendiri dan juga melalui akhbar Utusan Melaysia yang dapat membantu perkembangan korpus bahasa melalui tulisan Jawi. Penggunaan akbar Jawi dalam darjah merupakan langkah yang perlu digalakkan di semua sekolah agar pembelajaran menjadi lebih menarik dan praktikal. Kementerian Pelajaran seharusnya mengambil inisiatif untuk mengembangkan penulisan Jawi melalui peruntukan dalam jadual waktu persekolahan untuk pembelajaran. Kepentingan mempelajari tulisan Jawi samalah juga dengan kepentingan mempelajari Bahasa Melayu.

Pameran seni khat juga seharusnya diperbanyakkan dan pelajar sekolah harus digalakkan mengunjungi pameran sedemikian supaya mendapat pendedahan yang sewajarnya tentang warisan Melayu yang kian dilupakan ini. Bengkel tentang penulisan Jawi dalam kalangan belia dan pelajar peringkat remaja dapat mempertingkatkan lagi kesedaran mempertahankan tulisan Jawi sebagai alat pengembangan ilmu. Selain daripada kemudahan bahan pengajaran, guru yang berpengalaman perlu dilahirkan untuk memenuhi keperluan pengajaran. Latihan dapat meningkatkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan.

R6.5

Rajah 6.5: PEMBAKAR SEMANGAT... Peranan besar tulisan Jawi pada akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah Warta Ahad dalam menyuburkan semangat kemerdekaan dan patriotisme dalam kalangan orang Melayu. Foto: Melati Arif 
Sumber:Dipetik daripada http://web5.bernama.com/events/merdeka50/newsbm.php?id=247824

Menurut  Bukhari Lubis, pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Pengarah Penerbit UPSI, satu kaedah untuk memartabatkan tulisan Jawi ialah  setiap masa, lokasi atau di mana saja sewajarnya diletakkan tulisan ini. Media massa turut memberi sokongan seperti menyelitkan berita, iklan atau papan tanda dalam tulisan ini. Apabila semua pihak saling membantu, usaha memartabatkan tulisan ini mudah dilaksanakan, sekali gus memperluaskan pengaruh atau penggunaannya. Pada masa sama, kegiatan menguasai ejaan ini mesti diperkasakan dalam kalangan generasi muda kerana mereka golongan terbesar. Antaranya, mengadakan pelbagai sayembara serta kursus umum di sekolah rendah dan menengah. Percambahan minat terhadap golongan ini jika dijana sejak awal mampu membentuk keseimbangan dalam pelbagai aspek sekali gus mencapai kejayaan pada masa depan. Justeru, jika ada pelajar yang berminat menjadi pakar bahasa, perlulah dikaji dan diteroka keistimewaan sistem tulisan Jawi. Ini perlu dilakukan demi masa depan negara dan negara memerlukan golongan ini untuk meneruskan kesinambungan sedia ada. Pada masa sama, penerbitan buku dalam versi Jawi mestilah dipelbagaikan dengan memberi galakan atau insentif. Beliau percaya, jika disokong dengan mekanisme padu, martabat untuk mengangkat taraf tulisan ini akan tercapai. Yang penting ialah galakan serta cara pelaksanaannya. Sudah sampai masanya masyarakat menyemarakkan tulisan ini sebagai satu bukti terunggul kewujudan tamadun Melayu suatu ketika dulu.

Kesimpulannya, tulisan merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Malah tulisan Jawi merupakan nadi yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkan Bahasa Melayu setaraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada satu ketika dahulu. Kini, masyarakat perlulah disedarkan tentang keperluan mempertahankan warisan budaya ini agar tidak pupus ditelan dek zaman.  Rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu untuk merealisasikan semula keagungan tulisan Jawi sebagai alat mengembangkan ilmu dalam Bahasa Melayu.

SEMAK KENDIRI 6.2

 
  1. Bincangkan peranan yang seharusnya dimainkan oleh individu dan  masyarakat dalam memartabatkan tulisan Jawi.

  2. Jelaskan kaitan antara falsafah pendidikan negara dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi.